IOI City Mall Bersama Kelab Badminton Rashid Sidek Lancar Akademi Baharu

Date Event :

PUTRAJAYA, 26 Ogos 2022 – Sempena dengan pelancaran IOI Sports Centre yang telah berlangsung semalam, IOI City Mall telah mengumumkan kerjasamanya dengan Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS) untuk melancarkan Akademi Badminton IOI Rashid Sidek. Datuk Rashid Sidek akan mengambil peranan sebagai Ketua Jurulatih dan Pengarah Program Latihan dan juga akan menyelia pasukan jurulatih yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman untuk Akademi tersebut.

Untuk pengetahuan, IOI Sports Centre terdiri daripada 15 gelanggang badminton dan 2 gelanggang futsal mini yang boleh digabungkan menjadi arena futsal atau ruang acara, berkeluasan 41,375 kaki persegi. 

Dato’ Voon Tin Yow, Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd berkata, “Badminton adalah sukan yang menyatukan rakyat Malaysia. Ia (IOI City Mall, Putrajaya) akan menjadi lebih daripada sekadar destinasi untuk membeli-belah dan menjamu selera. IOI Sports Centre menarik mereka yang mencari gaya hidup aktif dan sihat.” 

“Pada masa hadapan, kami berharap kemudahan bertaraf dunia yang kami bina ini mampu menganjurkan kejohanan dan acara badminton peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambah beliau. 

Datuk Rashid Sidek, Pengasas dan Presiden KBRS berkata, “Malaysia secara konsisten melahirkan pemain badminton bertaraf dunia yang membawa kebanggaan kepada negara kita, dengan ramai yang masih menunggu untuk ditemui. Saya amat gembira kerana IOI Properties Group membina kemudahan badminton bertaraf dunia ini kerana ini akan menjadi platform untuk membangunkan bakat baharu dan sedia ada. Selain itu, pemain elit sedia ada juga boleh menggunakan pusat ini sebagai medan latihan mereka untuk lebih cemerlang dalam dunia badminton kompetitif.”

Akademi Badminton IOI Rashid Sidek telah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagai badan sukan dibawah Seksyen 17 Akta Pembangunan Sukan. Akademi ini bertujuan untuk mencari dan memupuk bakat baharu dan sedia ada, ia juga menyediakan perundingan kepada mana-mana institusi pendidikan, organisasi sukan atau kelab, dan mana-mana syarikat yang memerlukan kepakaran dalam sukan ini.